Senarai Akta

Informasi Akta Pemuliharaan Tanah

Akta Pemuliharaan Tanah

Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Akta 385)

Pemakaian

Akta ini hanya terpakai di Negeri-negeri di Malaya (Semenanjung Malaysia) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan, Akta ini tidak terpakai di Negeri Sabah dan Sarawak. Undang-undang Sabah berkaitan pemuliharaan tanah pula terpakai di Wilayah Persekutuan Labuan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6(1) Akta Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 1984.

Memandangkan Akta ini berkaitan perkara-perkara yang terletak dalam bidang kuasa perundangan Negeri, selaras dengan Perkara 76(3) Perlembagaan Persekutuan, Akta ini hanya berkuat kuasa di mana-mana Negeri sekiranya diterima pakai melalui undang-undang Negeri tersebut.

Sehubungan itu, Akta ini telah diterima pakai oleh Negeri-negeri berikut melalui:

  • Enakmen Johor No. 15 (1960)

  • Enakmen Kedah No. 13 (1960)

  • Enakmen Kelantan No. 6 (1960)

  • Enakmen Melaka No. 7 (1960)

  • Enakmen Negeri Sembilan No. 21 (1960)

  • Enakmen Pahang No. 13 (1960)

  • Enakmen Pulau Pinang No. 4 (1960)

  • Enakmen Perak No. 6 (1960)

  • Enakmen Perlis No. 12 (1960)

  • Enakmen Selangor No. 7 (1960)

  • Enakmen Terengganu No. 9 (1960)

Tujuan

Untuk mengukuhkan undang-undang berkaitan pemuliharaan bukit dan perlindungan tanah daripada hakisan serta larian kelodak.

Peruntukan Utama

Peruntukan utama terkandung dalam Bahagian II dan Bahagian III Akta ini. Secara umumnya, Akta ini mengandungi:

  • Peruntukan berhubung pengisytiharan sesuatu kawasan sebagai tanah bukit oleh Pihak Berkuasa Negeri, serta larangan menggunakan tanah bukit bagi apa-apa tujuan selain tujuan pertanian dan perlombongan yang terhad.

  • Peruntukan yang memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah mengambil tindakan terhadap tuan tanah yang tanahnya telah menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan kerosakan kepada tanah lain atau alur air, atau mengganggu atau berkemungkinan mengganggu penanaman di kawasan lain akibat tanah, lumpur, kelikir, kelodak atau batuan yang dibawa dari tanahnya.

  • Peruntukan yang memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah mengambil tindakan terhadap tuan tanah yang tanahnya telah rosak atau berkemungkinan rosak akibat hakisan atau pergerakan tanah, lumpur, kelikir, kelodak atau batuan di atas atau dari tanah tersebut.

Penalti

Mana-mana orang yang tanpa alasan munasabah gagal mematuhi apa-apa perintah yang dibuat di bawah Akta ini, atau mana-mana peruntukannya yang menghendaki orang itu melakukan atau melarangnya daripada melakukan sesuatu perbuatan atau perkara, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit. Jika denda tidak dibayar, orang itu boleh dipenjarakan bagi tempoh yang, tertakluk kepada Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah dan mengikut keadaan, boleh dilanjutkan sehingga enam (6) bulan.

Tarikh kemas kini: